Tahniah DSN - 11 pengumuman mesra rakyat

>> 11 Julai 2009


100 hari sebagai PM, Najib buat 11 pengumuman mesra rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, hari ini membuat 11 pengumuman "mesra rakyat" sempena genap 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri, antaranya pemberian diskaun kepada pengguna jalan bertol, peluang pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, pengurangan caj bayaran latihan penunggang motosikal serta satu tabung unit amanah baru.

Berucap di majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Perdana Menteri berkata, bagi meringankan beban pengguna lebuh raya yang menggunakan kad prabayar Smart Tag dan Touch n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka akan layak menerima diskaun 20 peratus.

Najib berkata, ini adalah satu keputusan atau penyelesaian sementara saja, sementara menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang menurutnya akan mengambil masa.

Katanya, beliau pernah diberitahu seorang pengguna jalan bertol yang dirinya terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan manakala gaji bulanannya RM3,000, yang menurut Perdana Menteri:" Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan saja setahun, kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (diskaun) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutamanya yang menggunakan jalan tol setiap hari," katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh lebih 5,000 hadirin di dalam dan luar pusat konvensyen itu yang penuh sesak.

Dalam ucapan hampir 50 minit yang dimulakan tepat jam 11.11 pagi yang menandakan 11 Julai, genap 100 hari menjadi Perdana Menteri selepas dilantik pada 3 April lalu, Najib juga mengumumkan bahawa penyewa rumah di bawah Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan akan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah di bawah program itu.

Katanya, sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan yang memberi peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri membabitkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil, di mana mereka akan menikmati potongan 50 peratus bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

Najib berkata, ini sebagai memenuhi permohonan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia bagi pengurangan bayaran lesen yang dikemukakan kepada beliau pada satu majlis di Tanjung Karang, Selangor bulan lalu.

"Ini akan memberi banyak kelegaan...saya harap negeri-negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen-lesen lain juga akan dikurangkan," katanya.

Selain itu, Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang sudah diberikan setakat ini.

Menurut Perdana Menteri, dasar membantu pemandu teksi dibuat memandangkan pada masa sekarang terdapat ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran seperti RM50 sehari, di samping kos lain seperti minyak.

Najib juga mengumumkan bahawa caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250 cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.

Menurutnya, beliau mendapati ramai penunggang terutama anak-anak muda yang "ke hulu dan ke hilir dengan motosikal kapcai" tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan adalah tinggi, di antara RM500-RM700 seorang.

"Selepas berunding dengan sekolah-sekolah memandu, caj (kadar) bayaran latihan (belajar) dikurang kepada RM211. Dan berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan tadi," katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin sebaik saja beliau mengumumkan pengurangan itu.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa menjelang 2010, seramai 20,000 isi rumah miskin tegar di bandar akan diberi 10,000 unit Skim Amanah Saham Wawasan untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih dalam usaha memerangi kemiskinan bandar.

Najib juga berkata, satu lagi tabung unit amanah baru dinamakan "Amanah Saham 1Malaysia" akan dilancarkan sedikit masa lagi dengan saiz sehingga 10 bilion unit.

Ia dibuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, katanya.

Najib juga mengumumkan peruntukan skim TEKUN ditambah RM150 juta lagi dan juga mengumumkan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambil langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini, dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.

Satu lagi pengumuman mesra rakyat Perdana Menteri hari ini, adalah berkaitan pendaftaran kelahiran, yang menurutnya ramai juga yang lambat mendaftarkan kelahiran dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

Najib berkata, di Sabah, sejak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran telah diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan.

Di Sarawak pula, sejak 2005, sebanyak 19,000 permohonan telah diterima dan dari jumlah itu, 80 peratus permohonan telah diluluskan.

Dalam pengumuman mengenai kewarganegaraan pula, Najib mengumumkan bahawa jumlah permohonan tertangguh pada 1 November 2008 adalah sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lalu, sebanyak 46 peratus telah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Di majlis itu, Najib turut membuat pengumuman mengenai infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, dan menurutnya kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sekarang kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.

Dalam konteks infrastruktur ini, Najib juga berkata, liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik, dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.

Najib yang menyifatkan majlis hari ini sebagai "perjumpaan yang sangat bersejarah" berkata keputusan-keputusan yang dibuat itu adalah "keputusan istimewa untuk rakyat Malaysia".

"Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan," katanya. - Bernama

0 comments:

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP