Bukit Gantang: Kempen BN guna pendekatan mesra rakyat

>> 30 Mac 2009

TAIPING: Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dalam kempennya bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Beliau berkata pada pilihan raya kecil itu, BN turut menunaikan permintaan pengundi yang mahukan calon anak tempatan.

"Saya amat yakin calon BN Ismail Saffian yang juga anak tempatan mempunyai kebolehan untuk meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat dan negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Taman Kaya di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan pengundi supaya membuat penilaian sebaik-baiknya dalam memilih calon pada hari pengundian 7 April ini dengan memastikan calon yang berkemampuan membawa pembaharuan dan bukan sekadar pandai bercakap, dipilih.

Zambry berkata pengundi tidak harus terpedaya dengan dakwaan pembangkang kononnya pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang merupakan proses pungutan suara terhadap BN.

"Referendum (pungutan suara) itu kata mereka (pembangkang) adalah satu hukuman kepada kerajaan BN, jika mereka menang pilihan raya kecil ini," katanya.

Pada majlis itu, Zambry turut menerima borang permohonan untuk menyertai Umno daripada kira-kira 150 penduduk setempat.

Ismail, 49, yang berasal dari Kampung Kubu, Bukit Gantang menghadapi tentangan dua calon lain pada pilihan raja kecil itu iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dari Pas dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum dari Pas pada 9 Februari lalu, akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008, Roslan memenangi kerusi berkenaan setelah menewaskan calon BN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas, M Mohganan dengan majoriti 1,566 undi. - Bernama

0 comments:

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP