>> 30 Mac 2009
KOTA BHARU: Keyakinan rakyat kepada Umno dan kerajaan akan kembali kukuh sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyertai Umno, kata anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Ibrahim berkata, Dr Mahathir yang juga bekas Presiden Umno mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap suasana politik negara dan ia mampu menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan yang semakin menurun sebelum ini.
"Pengaruh Tun Mahathir bukan sahaja mampu menarik bangsa Melayu menyokong semula Umno tetapi turut memberikan keyakinan kepada bukan Melayu untuk menyokong kerajaan," katanya selepas majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun ke-59 Keputeraan Sultan Kelantan di Istana Balai Besar di sini hari ini.Ibrahim mengulas pengumuman Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini akan menyertai semula Umno pada satu tarikh sesuai.
Katanya pengaruh Dr Mahathir itu bukan sahaja mempunyai erti yang sangat besar kepada rakyat negara ini tetapi juga turut diakui oleh masyarakat antarabangsa dan sebab itu Umno perlu menerima pandangannya jika pemimpin itu kembali ke dalam Umno.
"Saya rasa tidak lama lagi Tun (Mahathir)...akan menyertai semula Umno dan kini sedang melihat perkembangan dalam parti itu," katanya.Ibrahim yang rapat dengan Dr Mahathir juga turut membayangkan akan membuat "satu kejutan" terhadap senario politik dan juga menunggu masa yang sesuai untuk membuat pengumuman itu.
"Saya orang kerdil dan tidak penting, tapi Tun yang lebih penting (untuk masuk Umno)," katanya.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman Dr Mahathir itu dan katanya ini menunjukkan bahawa beliau sangat sayangkan parti terbesar bangsa Melayu itu.
"Umno sentiasa buka pintu kepada Tun dan mampu berperanan penasihat kepada kepimpinan baru negara," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.Pada majlis pengurniaan itu, Dr Ahmad Zahid adalah penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mustapa Mohamed pula menyifatkan kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam Umno satu petanda yang baik untuk penyatuan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
Mustapa yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani amat berharap Dr Mahathir segera berbuat demikian untuk memperkukuhkan bukan sahaja parti tetapi memberi kekuatan kepada kerajaan.
"Negara perlukan buah fikiran bernas daripada pemimpin seperti Tun dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempunyai kemampuan tinggi untuk membawa negara ke mercu kejayaan," katanya. - Bernama
0 comments:
Catat Ulasan