Anwar akui Najib Paling Cerdik

>> 01 April 2009


SUNGAI PETANI – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat, Mohd Ezam Mohd Noor mendedahkan mengapa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memfitnah dan memburukkan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah kerana beliau adalah orang paling cerdik dalam UMNO.

Mohd Ezam turut mendedahkan bahawa kepimpinan UMNO yang baru dilantik adalah barisan kepimpinan idaman Anwar ketika beliau dalam UMNO dahulu.

“Anwar mengatakan kepada saya (semasa menjadi pembantu Anwar), antara yang paling cerdik, yang beliau iktiraf ialah Najib (ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO)," katanya ketika berceramah di Bukit Selambau di sini.

Ezam merupakan bekas Setiausaha Politik dan Setiausaha Sulit kepada Anwar, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, dipecat pada September 1998.

Beliau merupakan antara penceramah tetamu tetap UMNO dalam pilihan raya kecil sejak pilihan raya kecil di Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu dan Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.

Selain Najib, kata Mohd Ezam, Anwar turut mengakui Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah antara pemimpin UMNO sebagai pemimpin bijak dan terbaik.

Mohd Ezam berkata, Anwar pernah menganggap keempat-empat pemimpin utama UMNO ini adalah antara pemimpin UMNO yang menjadi sebahagian dalam pasukan idamannya sekiranya menerajui kerajaan dahulu.

"Kenapa dia (Anwar) protes Datuk Seri Najib? Sebab dia takut. Sebab apa dia paling takut Datuk Seri Najib? Sebab beliau adalah yang paling cerdik,” katanya.

Menurutnya, Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) tidak harus mempertikaikan keupayaan kepimpinan baru kerana pemimpin Malaysia yang terbaik ketika ini.

“Kenyataan ini bermakna Anwar pernah mengakui, mereka ini merupakan pemimpin terbaik UMNO yang ada pada masa itu dan kini kesemua mereka sudah menerajui UMNO. Apa lagi Anwar nak kata,” katanya.

Mohd Ezam berkata, pemimpin-pemimpin UMNO yang baru sahaja dipilih menerajui parti pada pemilihan Khamis lalu adalah pasukan terbaik yang pernah ditampilkan UMNO dalam masa 10 tahun ini.

“Sebab itu, saya minta orang Melayu beri peluang kepada UMNO untuk lakukan perubahan melalui pimpinan baru ini.

“Saya tidak kata UMNO parti yang sempurna tetapi kekuatan UMNO adalah kerana ia nampak kelemahan dan segera lakukan perubahan,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP