Najib buat lawatan mengejut sekitar Kuala Lumpur
>> 05 April 2009
Tanpa permaidani merah dan tanpa bunga manggar, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara bagi bertemu dan mengetahui masalah rakyat biasa.
Beliau yang memakai baju khaki lengan pendek berwarna hijau cair dan seluar khaki berwarna coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di kawasan perniagaan di Petaling Street, kawasan perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambathan, Brickfield.
Najib tiba di Petaling Street pada pukul 3.25 petang dan bersalaman serta berbual dengan para peniaga di situ yang terdiri daripada masyarakat Cina.
Beliau tidak menghampakan harapan untuk bersalaman dengan orang ramai termasuk menghulurkan tangan kepada seorang kelindan lori yang menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya ketika sedang memunggah barang di atas sebuah lori.
Ada yang bertepuk tangan, ada yang melambai tangan, ada yang mengambil gambar dan ada juga yang menceritakan terus kepada Najib mengenai masalah mereka.
"Baguslah kalau pemimpin selalu jumpa rakyat," kata peniaga Lim Teck Heng, 47, ketika ditemuramah BERNAMA.
Setelah berada 20 minit di situ, Najib terus ke Vista Angkasa dan tiba di destinasi kedua itu pada pukul 3.55 petang untuk bertemu dengan para penduduk perumahan kos rendah dan sederhana itu.
"Saya lakukan lawatan tidak rasmi dan lawatan mengejut. Cuma orang tertentu sahaja diberitahu. Saya maklumkan kepada Zulhasnan (Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique) saya tak mahu permaidani merah, tak mahu bunga manggar.
"Lawatan saya adalah untuk berjumpa dengan rakyat biasa bagi mengetahui masalah rakyat biasa," katanya kepada para penduduk di situ.
Najib berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM6.1 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan kawasan perumahan itu yang terdiri daripada 1,050 unit rumah jenis apartmen dengan 196 unit kos rendah dan bakinya kos sederhana.
Daripada peruntukan itu, RM2.8 juta untuk mengecat bangunan, RM1.3 juta membaiki bumbung, RM1 juta membaiki sistem pelindung kilat, RM600,000 untuk menggantikan lif serta RM400,000 untuk membaiki sistem telekomunkasi.
Najib berkata hak milik strata bagi kawasan perumahan itu akan dikeluarkan setelah kerja-kerja penambahbaikan selesai dan kerja-kerja itu akan dilakukan dengan segera dan siap beberapa bulan lagi.
Beliau percaya langkah itu dapat memberi banyak kelegaan kepada para penghuni.
"Inilah contoh keperihatinan kerajaan, nak laksanakan apa termampu agar rakyat dapat pembelaan terbaik. Ia juga sejajar dengan konsep Satu Malaysia dengan rakyat diutamakan dan pelaksanaan disegerakan," katanya.
Selain berbual-bual dengan para penduduk di situ yang kebanyakannya masyarakat Melayu, Najib turut meninjau kawasan perumahan itu. Beliau berada di situ selama 20 minit.
"Bila pemimpin datang, baru dia tahu masalah kita orang," kata Othman Ahmad, 58, penduduk di situ.
Pada 4.20 petang, Najib melawat deretan kedai di Jalan Tun Sambathan dan bertemu dengan para peniaga terdiri daripada masyarakat India serta orang ramai di situ.
Beliau sempat singgah makan dan minum di sebuah restoran di situ.
Najib kelihatan makan sedikit putu mayam, tosai beralaskan daun pisang dan minum air teh "O" ais limau.
Beliau meninggalkan kawasan itu kira-kira pukul 5 petang. Zulhasnan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail turut mengikuti Najib dalam lawatan ketiga-tiga kawasan itu.
"Saya terkejut dia (Najib) datang. Siapa sangka semalam angkat (sumpah), hari ini sudah mari," kata G. Subramaniam, 20, seorang penduduk di situ.
Peniaga warung R. Puvaneswaran, 37, berkata beliau gembira dapat melihat wajah Perdana Menteri dari dekat.
"Saya juga gembira, ramai (tahanan) ISA dapat keluar. Ada tiga saudara saya," katanya.
Seorang lagi penduduk di situ A. Parameswari, 50, berkata pemimpin mesti selalu turun bawah dan menjaga kepentingan semua rakyat.- 4/4/2009
PS : Tahniah Dato Sri... Teruskan bersama rakyat
0 comments:
Catat Ulasan