Kemarau : Tuhan Marah Kepada BN?

>> 21 Mac 2010

Hanya doa pemimpin PAS yang diterima Tuhan!


Malam tadi atas jemputan kawan saya menghadiri satu majlis penubuhan AJK Penganjur lawatan YBM Tengku Razaleigh Hamzah ke Sabah pada 2hb April 2010. Saya hadir sebagai wakil NGO. Saya telah meletakkan syarat kepada penganjur supaya program mesti bebas daripada politik. Saya tegaskan matlamat membawa Ku Li ke Sabah untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai isu royalti minyak Sabah. Tambahan pula Ku Li adalah pemimpin UMNO dan MP yang mewakili BN.

Saya bagaimanapun begitu terperanjat bila wakil Persatuan Anak Terengganu yang mempengerusi mesyuarat dan merupakan pengerusi penganjur menyelit ucapan politik. Katanya kemarau yang dialami rakyat Sabah sekarang berpunca daripada bala dan malapetaka yang diturunkan kerana Allah S.W.T tidak memberkati kepimpinan negara hari ini.

Tiba-tiba mesyuarat yang dihadiri NGO berubah menjadi majlis ceramah PAS. Katanya PAS akan menganjur program sembahyang hajat memohon hujan dan menjemput Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman menjadi imam. "Itu pung kalau Musa Aman datang. Kalau tak datang saya sendiri jadi imam" kata ustaz itu berseloroh dan mempersenda Ketua Menteri Sabah dengan loghat Terengganu yang pekat.

Biar betul ustaz ini. Bukankah majlis sepatutnya membincangkan program lawatan Ku Li dan soal royalti minyak? bisik hati saya.

Datuk Kalakau Untol yang duduk sebelah kanan saya juga ternganga mulut mendengar fatwa Ustaz tersebut. Kalakau yang mewakili mewakili USDA atau Persatuan Dusun Sabah bisik ke telinga saya, "Apa hal ini brader?" Saya hanya geleng kepala. Kalakau yang telah menyertai PKR baru-baru ini adalah seorang tokoh politik yang berpengalaman. Beliau pernah jadi Timbalan Menteri dan dua penggal sebagai senator. Tapi apa yang beliau dengar malam tadi barangkali tidak dijangkakan.

Budaya politik baru sudah masuk ke Sabah? Di Semenanjung apa juga isu termasuk kemarau dan banjir akan dipolitikkan. Kuasa Tuhan juga dipolitikkan.

Daerah Kota Belud yang merupakan tempat lahirnya UMNO di Sabah menerima kejutan budaya politik sebegitu baru-baru ini ketika daerah itu dilanda banjir. Namun banjir kali ini tidak seperti banjir sebelumnya kerana bencana alam kali ini dikatakan berpunca daripada kesalahan kerajaan BN kerana membina jalan raya atau lebuh raya Kota Belud By-Pass. Tetapi sebelum ada jalan raya yang menjadi kemudahan rakyat itu, daerah Kota Belud pernah juga berlaku banjir!

Sekarang Kota Belud mengalami musim kemarau seperti kebanyakan daerah di Sabah, apakah fatwa Ustaz dari PAS itu juga menjadi punca utama kemarau di Kota Belud, iaitu Tuhan menghalang hujan turun kerana tidak merestui kepimpinan daerah itu?

renung-renungkanlah...

Dari : Sini (Musli Oli)

0 comments:

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP